TELUK INTAN: Maut memisahkan sepasang pengantin remaja, yang baru empat hari bersanding selepas motosikal yang dinaiki mereka bertembung sebuah pacuan empat roda dalam nahas, di sini, pada Rabu lalu
. Dalam nahas di Kilometer 29, Jalan Hutan Melintang-Bagan Datoh, kira-kira jam 10.30 malam itu, Siti Fatimah Manja, 18, meninggal dunia beberapa jam selepas kejadian ketika dia dalam rawatan kecemasan di Hospital Teluk Intan (HTI).
Suaminya, Abdul Rauf Saruddin, 19, yang bekerja sebagai jurujual pula cedera parah apabila patah kaki. Pasangan itu dalam perjalanan dari Bagan Datoh ke Teluk Intan apabila bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda, Toyota Hilux.
Kakak mangsa, Siti Hajar, 25, berkata keluarganya baru selesai melangsungkan majlis persandingan buat adiknya dan ipar itu pada Sabtu lalu.
"Mereka dijadualkan akan diraikan dengan majlis persandingan sebelah keluarga lelaki pula pada Ahad ini.
Malangnya tidak kesampaian akibat nahas yang menimpa ini," katanya. Jenazah arwah Fatimah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ulu Dedap, tengah hari semalam.
KUALA LUMPUR: Semalam, Instagram milik pereka fesyen, Ashraf Zainal Atelier, @ashraffzainal memuat naik tiga keping gambar pelakon jelita, Nora Danish, menggayakan busana perkahwinan.
Gambar berkenaan diiringi keterangan seolah-olah menggambarkan Nora kini menghitung hari untuk menaiki pelamin sekali lagi selain dirinya sedang dilamun cinta.
Menurut sumber yang dipercayai, ibu tunggal kepada Putera Rayqal itu dikatakan bakal menamatkan zaman jandanya tidak lama lagi.
Kalau benar Nora bakal berkahwin, siapa pula calonnya? Nora yang dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp semalam memberitahu, dirinya memang akan 'berkahwin' dengan menggayakan busana perkahwinan pereka fesyen sama.
"Saya akan melangsungkan perkahwinan di New York. Ya, saya akan berkahwin dengan Baim Wong, tak pun dengan Remy Ishak," seloroh Nora sambil memberitahu dirinya akan terbang ke New York hari ini bagi menjalani penggambaran sebuah drama arahan Erma Fatima.
Nora sebelum ini pernah berkahwin dengan Rizal Ashram Ramli atau Jejai dan dikurniakan seorang anak. Namun jodoh mereka tidak panjang.
Beberapa tahun kemudian Nora dilihat intim dengan Nedim Nazri. Ketika ini Nora mula memperlahankan sisi peribadinya dan lebih fokus kepada dunia seni serta perniagaan.

KUALA LUMPUR: Biarpun mencintai isterinya sepenuh hati, derita penyakit kanser yang ditanggung menjadi faktor utama penyanyi, Mark Adam, 37, membuat keputusan meninggalkan wanita itu.
Begitupun, peminat usah cepat menghukum penyanyi berbakat itu kerana kisah berkenaan hanyalah cerita rekaan untuk klip video single terbaharunya yang berjudul Berat.
"Lagu Berat adalah taruhan terbaharu saya khas buat peminat. Single ini berbeza daripada lagu yang mempopularkan saya sebelum ini.
"Ia mengisahkan sepasang suami isteri terpaksa berpisah bukan kerana kehadiran orang ketiga atau sebagainya, sebaliknya akibat konflik yang lebih besar.
Si suami menanggung derita penyakit kanser dan terpaksa melepaskan si isteri demi kebahagiaannya. "Alhamdulillah, sambutan yang diberikan oleh peminat terhadap lagu ciptaan DJ Fuzz itu sangat memberangsangkan.
Video single terkini saya itu baharu saja dilancarkan sebentar tadi," kata Mark atau Fikri Mark Adam kepada BH Online.
Penyanyi kelahiran Cebu, Filipina ini kian mengukir nama di Malaysia dengan beberapa lagu seperti Pencuri, Si Katak, Marry Me dan Senyum Lagi. Bagi single terbabit, beliau mengambil risiko apabila mengetengahkan muzik yang agak berbeza daripada genre sebelum ini.
"Saya sebenarnya mengorak langkah sebagai penyanyi menerusi lagu berentak balada, namun tidak dinafikan irama rancak berjaya melonjakkan nama saya di arena seni.
"Diharapkan lagu Berat mendapat sambutan yang baik seperti mana lagu saya sebelum ini," katanya.

KUALA LUMPUR: Bakat baharu, Syatilla Melvin, yang pernah dikaitkan menjalin cinta dengan pelakon popular, Shaheizy Sam, mengakui terkejut dengan gosip yang menyatakan jejaka itu sudah mendirikan rumah tangga dalam satu majlis tertutup, baru-baru ini.
Syatilla atau nama sebenarnya Siti Nur Syatilla Amirul Melvin, 24, berkata, beliau hanya mampu mendoakan kebahagiaan bintang Polis Evo itu sekiranya apa yang hangat diperkatakan itu benar. Meskipun pernah dikaitkan dengan Sam, Syatilla mengakui, mereka sudah tidak lama berkomunikasi disebabkan sibuk dengan urusan kerjaya masing-masing.
"Kali terakhir saya berkomunikasi dengan Sam pada bulan lalu. Saya belum berkesempatan untuk bertanyakan dirinya mengenai gosip yang diperkatakan ini.
"Mengenali Sam sebagai seorang yang gemar berahsia, tidak mustahil jika gosip ini sesuatu yang benar.
"Namun, saya tidak dapat memastikan kesahihannya kerana hanya mengetahuinya selepas dihubungi wartawan. Jika benar seperti yang diperkatakan, saya hanya mampu mendoakan yang terbaik.
"Tetapi apabila difikirkan semula, saya akui agak kelakar apabila timbul cerita sebegini. Tiada angin tiada ribut, tiba-tiba ada pihak mendakwa dia sudah berkahwin. Saya sudah lali dengan cerita begini kerana ia bukan pertama kali timbul," katanya kepada BH Online.
Bagi Syatilla, lebih baik menunggu kenyataan rasmi empunya badan daripada terus membuat spekulasi yang hanya mengundang pelbagai masalah lain. "Lumrah anak seni apabila sering terpalit dengan kontroversi dan cerita sensasi.
Saya mohon mereka yang di luar sana supaya jangan terlalu mudah percaya dengan setiap khabar angin yang timbul. Tunggu sehingga tuan punya badan sentiasa mengiyakan kesahihan cerita itu," tegasnya.
Terdahulu, ibu Sam iaitu pelakon, Khaty Fauziah menafikan dakwaan anak lelakinya itu sedang membuat persiapan perkahwinan. Bagaimanapun, beliau tidak terkejut dengan gosip itu kerana ia bukan kali pertama tersebar.
Syatilla juga bersyukur kerana keluarganya memahami asam garam kehidupan anak seni dan tidak mudah melatah dengan setiap kontroversi yang melanda dirinya. Beliau menegaskan, masyarakat di luar sana juga harus mengambil pendekatan yang sama dan tidak mudah percaya dengan khabar angin.
Dalam perkembangan terkini, Syatilla sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri Sha dan Shah arahan Eyra Rahman. Drama 16 episod itu turut menampilkan Kamal Adli, Shima Anuar dan Nina Iskandar dalam barisan pelakon.
KUALA LUMPUR: Pelakon, Shaheizy Sam dan Syatilla Melvin, mengedarkan kad kahwin mereka mulai petang ini.
Selain menggunakan reka bentuk sama, kedua-dua kad undangan eksklusif ke majlis resepsi pasangan terbabit juga disertakan dengan madah nukilan ibu Sam dan Syatilla.
Bagaimanapun, kad di sebelah pihak perempuan memaparkan gambar bakal mempelai dalam bentuk warna dan kedua-duanya digambarkan dalam keadaan ceria.
Kad undangan daripada pihak lelaki pula menyertakan gambar pasangan itu dalam bentuk kolaj hitam putih.
Pasangan selebriti ini akan dinikahkan di Pulau Pinang pada 8 Februari depan, manakala majlis resepsi pertama dilangsungkan keesokannya, juga di Pulau Mutiara, manakala acara kedua diadakan di Hotel Mandarin Oriental, di sini, pada 14 Februari.
KUALA LUMPUR: Sejak beberapa minggu lalu, status rumah tangga pelakon popular, Fasha Sandha dan suaminya, Jejai, hangat diperkatakan. Pernah muncul dalam beberapa majlis, Fasha sering mengelak apabila diajukan pertanyaan mengenai perkahwinannya.
Terbaharu, ketika menghadiri majlis resepsi perkahwinan Kavita Sidhu dan suaminya, Roberto Guiati di sebuah hotel mewah di ibu negara, Jumaat lalu, Fasha yang hadir tanpa suami di sisi, mengelak soalan sama.
Pada majlis itu, Fasha duduk bersebelahan Pengarah Urusan Nouvelle Visages, Rita Datuk Susilawati. Sehingga hari ini, baik Fasha mahupun Jejai, masing-masing mengunci mulut mengenai kedudukan rumah tangga mereka.
Namun, tindakan Fasha memuat naik video di laman Instagram semalam menambah lagi 'drama' dalam kemelut rumah tangga aktres jelita ini. Pada paparan itu, Fasha mengaku sedang bersedih.
Namun, ibu dua anak itu mendakwa, dia kurus bukan kerana bersedih. "Jangan salah anggap bahawa saya kurus kerana bersedih. Saya kurus kerana tak makan malam. "Ya betul, memang saya sedang bersedih.
Tetapi saya seorang wanita yang tabah dan kuat. Saya tidak akan tunjukkan kesedihan saya. Sebagai wanita jangan jadikan alasan bersedih untuk menjadi 'serabai' dan tidak terurus. "Kehidupan perlu diteruskan.
Sebagai wanita kita harus berdikari setiap waktu," katanya. Status itu menarik perhatian Netizen yang mengandaikan pelbagai perkara yang dihadapi Fasha dalam konteks rumah tangga dan hubungannya dengan Jejai.
Amalkan pengambilan kolagen Fasha turut berkongsi rahsia kurus dengan mengamalkan produk kesihatan miliknya, Jemyma Official. "Saya tak makan malam, saya gantikan dengan kolagen Seputeh Salju.
Ia bukan sahaja menjadikan kulit saya lebih cantik malah perut saya sentiasa kenyang. "Saya minum dua kali sehari," katanya. Fasha dan Jejai berkahwin pada April tahun 2012 dan dikurniakan dua orang cahaya mata bernama Putra Rayfal dan Raysha Jemyma.

KUALA LUMPUR: Kehidupan bintang Akulah Balqis, Nabila Huda, 31, sejak berkahwin dengan tauke kafe hipster, Mohd Izwan Johar, 32, pada 25 Disember lalu berubah 360 darjah dengan pelakon itu meningkatkan skil memasak saban hari.
Selepas beberapa tahun hidup sendirian dengan status ibu tunggal, Nabila mengakui bahagia dengan fasa kehidupan sekarang.
"Kehidupan saya sekarang lengkap. "Biasalah, rutin harian memasak untuk suami dan Keisha. Saya tidak rasa terbeban kerana memang suka memasak," katanya kepada BH Online.
Nabila berkata, hingga hari ini, dia masih menerima ucapan tahniah daripada teman-teman dan sanak-saudara atas perkahwinan kali keduanya itu. "Alhamdulillah tidak putus-putus doa dan ucapan tahniah diberikan semua pihak.
Terima kasih tidak terhingga saya ucapkan. "Saya harap dapat menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu dengan baik," katanya. Bercerita mengenai cahaya mata pula, Nabila tidak kisah andai dikurniakan anak ramai.
"Saya tidak kisah kerana mahu menginginkan keluarga yang besar," katanya. Sementara itu, Nabila memberitahu, majlis resepsi kedua akan diadakan di kediaman bapanya, lagenda rock, Amy Search atau Suhaimi Abdul Rahman, 57, di Shah Alam, pada 16 Januari depan.
"Majlis menyambut menantu diadakan bagi merapatkan lagi hubungan antara suami dan saudara mara terdekat. "Acara itu akan diadakan di rumah papa secara kecil-kecilan. Keputusan untuk mengadakan majlis itu adalah atas persetujuan bersama," katanya.
Nabila dan Izwan selamat diijabkabulkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 25 Disember lalu. Majlis pernikahan Nabila berlangsung sederhana dengan dihadiri teman rapat dan keluarga.
Sebelum ini, Nabila mendirikan rumah tangga dengan Zaidy Zailani pada tahun 2008, namun berpisah dua tahun kemudian. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan anak perempuan bernama Keisha Laila yang berusia enam tahun.