Tuesday, 16 February 2016

TELUK INTAN: Maut memisahkan sepasang pengantin remaja, yang baru empat hari bersanding selepas motosikal yang dinaiki mereka bertembung sebuah pacuan empat roda dalam nahas, di sini, pada Rabu lalu

. Dalam nahas di Kilometer 29, Jalan Hutan Melintang-Bagan Datoh, kira-kira jam 10.30 malam itu, Siti Fatimah Manja, 18, meninggal dunia beberapa jam selepas kejadian ketika dia dalam rawatan kecemasan di Hospital Teluk Intan (HTI).

 Suaminya, Abdul Rauf Saruddin, 19, yang bekerja sebagai jurujual pula cedera parah apabila patah kaki. Pasangan itu dalam perjalanan dari Bagan Datoh ke Teluk Intan apabila bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda, Toyota Hilux.

 Kakak mangsa, Siti Hajar, 25, berkata keluarganya baru selesai melangsungkan majlis persandingan buat adiknya dan ipar itu pada Sabtu lalu.

 "Mereka dijadualkan akan diraikan dengan majlis persandingan sebelah keluarga lelaki pula pada Ahad ini.

 Malangnya tidak kesampaian akibat nahas yang menimpa ini," katanya. Jenazah arwah Fatimah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ulu Dedap, tengah hari semalam.

KUALA LUMPUR: Semalam, Instagram milik pereka fesyen, Ashraf Zainal Atelier, @ashraffzainal memuat naik tiga keping gambar pelakon jelita, Nora Danish, menggayakan busana perkahwinan.

 Gambar berkenaan diiringi keterangan seolah-olah menggambarkan Nora kini menghitung hari untuk menaiki pelamin sekali lagi selain dirinya sedang dilamun cinta.

 Menurut sumber yang dipercayai, ibu tunggal kepada Putera Rayqal itu dikatakan bakal menamatkan zaman jandanya tidak lama lagi.

 Kalau benar Nora bakal berkahwin, siapa pula calonnya? Nora yang dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp semalam memberitahu, dirinya memang akan 'berkahwin' dengan menggayakan busana perkahwinan pereka fesyen sama.

 "Saya akan melangsungkan perkahwinan di New York. Ya, saya akan berkahwin dengan Baim Wong, tak pun dengan Remy Ishak," seloroh Nora sambil memberitahu dirinya akan terbang ke New York hari ini bagi menjalani penggambaran sebuah drama arahan Erma Fatima.

 Nora sebelum ini pernah berkahwin dengan Rizal Ashram Ramli atau Jejai dan dikurniakan seorang anak. Namun jodoh mereka tidak panjang.

 Beberapa tahun kemudian Nora dilihat intim dengan Nedim Nazri. Ketika ini Nora mula memperlahankan sisi peribadinya dan lebih fokus kepada dunia seni serta perniagaan.


KUALA LUMPUR: Biarpun mencintai isterinya sepenuh hati, derita penyakit kanser yang ditanggung menjadi faktor utama penyanyi, Mark Adam, 37, membuat keputusan meninggalkan wanita itu.

 Begitupun, peminat usah cepat menghukum penyanyi berbakat itu kerana kisah berkenaan hanyalah cerita rekaan untuk klip video single terbaharunya yang berjudul Berat.

 "Lagu Berat adalah taruhan terbaharu saya khas buat peminat. Single ini berbeza daripada lagu yang mempopularkan saya sebelum ini.

 "Ia mengisahkan sepasang suami isteri terpaksa berpisah bukan kerana kehadiran orang ketiga atau sebagainya, sebaliknya akibat konflik yang lebih besar.

 Si suami menanggung derita penyakit kanser dan terpaksa melepaskan si isteri demi kebahagiaannya. "Alhamdulillah, sambutan yang diberikan oleh peminat terhadap lagu ciptaan DJ Fuzz itu sangat memberangsangkan.

 Video single terkini saya itu baharu saja dilancarkan sebentar tadi," kata Mark atau Fikri Mark Adam kepada BH Online.

 Penyanyi kelahiran Cebu, Filipina ini kian mengukir nama di Malaysia dengan beberapa lagu seperti Pencuri, Si Katak, Marry Me dan Senyum Lagi. Bagi single terbabit, beliau mengambil risiko apabila mengetengahkan muzik yang agak berbeza daripada genre sebelum ini.

 "Saya sebenarnya mengorak langkah sebagai penyanyi menerusi lagu berentak balada, namun tidak dinafikan irama rancak berjaya melonjakkan nama saya di arena seni.

 "Diharapkan lagu Berat mendapat sambutan yang baik seperti mana lagu saya sebelum ini," katanya.



KUALA LUMPUR: Bakat baharu, Syatilla Melvin, yang pernah dikaitkan menjalin cinta dengan pelakon popular, Shaheizy Sam, mengakui terkejut dengan gosip yang menyatakan jejaka itu sudah mendirikan rumah tangga dalam satu majlis tertutup, baru-baru ini.

 Syatilla atau nama sebenarnya Siti Nur Syatilla Amirul Melvin, 24, berkata, beliau hanya mampu mendoakan kebahagiaan bintang Polis Evo itu sekiranya apa yang hangat diperkatakan itu benar. Meskipun pernah dikaitkan dengan Sam, Syatilla mengakui, mereka sudah tidak lama berkomunikasi disebabkan sibuk dengan urusan kerjaya masing-masing.

 "Kali terakhir saya berkomunikasi dengan Sam pada bulan lalu. Saya belum berkesempatan untuk bertanyakan dirinya mengenai gosip yang diperkatakan ini. 

"Mengenali Sam sebagai seorang yang gemar berahsia, tidak mustahil jika gosip ini sesuatu yang benar.

 "Namun, saya tidak dapat memastikan kesahihannya kerana hanya mengetahuinya selepas dihubungi wartawan. Jika benar seperti yang diperkatakan, saya hanya mampu mendoakan yang terbaik.

 "Tetapi apabila difikirkan semula, saya akui agak kelakar apabila timbul cerita sebegini. Tiada angin tiada ribut, tiba-tiba ada pihak mendakwa dia sudah berkahwin. Saya sudah lali dengan cerita begini kerana ia bukan pertama kali timbul," katanya kepada BH Online.

 Bagi Syatilla, lebih baik menunggu kenyataan rasmi empunya badan daripada terus membuat spekulasi yang hanya mengundang pelbagai masalah lain. "Lumrah anak seni apabila sering terpalit dengan kontroversi dan cerita sensasi.

 Saya mohon mereka yang di luar sana supaya jangan terlalu mudah percaya dengan setiap khabar angin yang timbul. Tunggu sehingga tuan punya badan sentiasa mengiyakan kesahihan cerita itu," tegasnya.

 Terdahulu, ibu Sam iaitu pelakon, Khaty Fauziah menafikan dakwaan anak lelakinya itu sedang membuat persiapan perkahwinan. Bagaimanapun, beliau tidak terkejut dengan gosip itu kerana ia bukan kali pertama tersebar.

 Syatilla juga bersyukur kerana keluarganya memahami asam garam kehidupan anak seni dan tidak mudah melatah dengan setiap kontroversi yang melanda dirinya. Beliau menegaskan, masyarakat di luar sana juga harus mengambil pendekatan yang sama dan tidak mudah percaya dengan khabar angin.

 Dalam perkembangan terkini, Syatilla sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri Sha dan Shah arahan Eyra Rahman. Drama 16 episod itu turut menampilkan Kamal Adli, Shima Anuar dan Nina Iskandar dalam barisan pelakon.



KUALA LUMPUR: Pelakon, Shaheizy Sam dan Syatilla Melvin, mengedarkan kad kahwin mereka mulai petang ini.

 Selain menggunakan reka bentuk sama, kedua-dua kad undangan eksklusif ke majlis resepsi pasangan terbabit juga disertakan dengan madah nukilan ibu Sam dan Syatilla.

 Bagaimanapun, kad di sebelah pihak perempuan memaparkan gambar bakal mempelai dalam bentuk warna dan kedua-duanya digambarkan dalam keadaan ceria.

 Kad undangan daripada pihak lelaki pula menyertakan gambar pasangan itu dalam bentuk kolaj hitam putih.

 Pasangan selebriti ini akan dinikahkan di Pulau Pinang pada 8 Februari depan, manakala majlis resepsi pertama dilangsungkan keesokannya, juga di Pulau Mutiara, manakala acara kedua diadakan di Hotel Mandarin Oriental, di sini, pada 14 Februari.

KUALA LUMPUR: Sejak beberapa minggu lalu, status rumah tangga pelakon popular, Fasha Sandha dan suaminya, Jejai, hangat diperkatakan. Pernah muncul dalam beberapa majlis, Fasha sering mengelak apabila diajukan pertanyaan mengenai perkahwinannya.

 Terbaharu, ketika menghadiri majlis resepsi perkahwinan Kavita Sidhu dan suaminya, Roberto Guiati di sebuah hotel mewah di ibu negara, Jumaat lalu, Fasha yang hadir tanpa suami di sisi, mengelak soalan sama.

 Pada majlis itu, Fasha duduk bersebelahan Pengarah Urusan Nouvelle Visages, Rita Datuk Susilawati. Sehingga hari ini, baik Fasha mahupun Jejai, masing-masing mengunci mulut mengenai kedudukan rumah tangga mereka. 

Namun, tindakan Fasha memuat naik video di laman Instagram semalam menambah lagi 'drama' dalam kemelut rumah tangga aktres jelita ini. Pada paparan itu, Fasha mengaku sedang bersedih.

 Namun, ibu dua anak itu mendakwa, dia kurus bukan kerana bersedih. "Jangan salah anggap bahawa saya kurus kerana bersedih. Saya kurus kerana tak makan malam. "Ya betul, memang saya sedang bersedih

Tetapi saya seorang wanita yang tabah dan kuat. Saya tidak akan tunjukkan kesedihan saya. Sebagai wanita jangan jadikan alasan bersedih untuk menjadi 'serabai' dan tidak terurus. "Kehidupan perlu diteruskan.

 Sebagai wanita kita harus berdikari setiap waktu," katanya. Status itu menarik perhatian Netizen yang mengandaikan pelbagai perkara yang dihadapi Fasha dalam konteks rumah tangga dan hubungannya dengan Jejai.

 Amalkan pengambilan kolagen Fasha turut berkongsi rahsia kurus dengan mengamalkan produk kesihatan miliknya, Jemyma Official. "Saya tak makan malam, saya gantikan dengan kolagen Seputeh Salju.

 Ia bukan sahaja menjadikan kulit saya lebih cantik malah perut saya sentiasa kenyang. "Saya minum dua kali sehari," katanya. Fasha dan Jejai berkahwin pada April tahun 2012 dan dikurniakan dua orang cahaya mata bernama Putra Rayfal dan Raysha Jemyma.



KUALA LUMPUR: Kehidupan bintang Akulah Balqis, Nabila Huda, 31, sejak berkahwin dengan tauke kafe hipster, Mohd Izwan Johar, 32, pada 25 Disember lalu berubah 360 darjah dengan pelakon itu meningkatkan skil memasak saban hari.

 Selepas beberapa tahun hidup sendirian dengan status ibu tunggal, Nabila mengakui bahagia dengan fasa kehidupan sekarang.

 "Kehidupan saya sekarang lengkap. "Biasalah, rutin harian memasak untuk suami dan Keisha. Saya tidak rasa terbeban kerana memang suka memasak," katanya kepada BH Online.

 Nabila berkata, hingga hari ini, dia masih menerima ucapan tahniah daripada teman-teman dan sanak-saudara atas perkahwinan kali keduanya itu. "Alhamdulillah tidak putus-putus doa dan ucapan tahniah diberikan semua pihak.

 Terima kasih tidak terhingga saya ucapkan. "Saya harap dapat menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu dengan baik," katanya. Bercerita mengenai cahaya mata pula, Nabila tidak kisah andai dikurniakan anak ramai.

 "Saya tidak kisah kerana mahu menginginkan keluarga yang besar," katanya. Sementara itu, Nabila memberitahu, majlis resepsi kedua akan diadakan di kediaman bapanya, lagenda rock, Amy Search atau Suhaimi Abdul Rahman, 57, di Shah Alam, pada 16 Januari depan.

 "Majlis menyambut menantu diadakan bagi merapatkan lagi hubungan antara suami dan saudara mara terdekat. "Acara itu akan diadakan di rumah papa secara kecil-kecilan. Keputusan untuk mengadakan majlis itu adalah atas persetujuan bersama," katanya.

 Nabila dan Izwan selamat diijabkabulkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 25 Disember lalu. Majlis pernikahan Nabila berlangsung sederhana dengan dihadiri teman rapat dan keluarga.

 Sebelum ini, Nabila mendirikan rumah tangga dengan Zaidy Zailani pada tahun 2008, namun berpisah dua tahun kemudian. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan anak perempuan bernama Keisha Laila yang berusia enam tahun.


KUALA LUMPUR: "Tuhan masih beri saya peluang untuk hidup dan saya memanjat kesyukuran di atas apa yang terjadi," demikian ulas Vanidah Imran kepada BH Online ekoran nahas jalan raya yang menimpanya awal pagi tadi selepas kereta Mini Cooper yang dipandunya tiba-tiba terbakar, dekat Sungai Besi.

 Bagaimanapun, pelakon filem Wanita Melayu Terakhir itu memberitahu dia kini memang dalam keadaan baik.

 Menceritakan semula kejadian berkenaan, Vanidah memberitahu dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Pandan selepas selesai penggambaran drama Rekah untuk siaran Aidilfitri nanti.

"Ketika kejadian saya cuba untuk tidak panik. Cuma saya tidak menyedari rupa-rupanya ada keluar asap dari bahagian enjin. Hinggalah ada pemandu trak yang memberitahu perkara berkenaan. Apabila saya masuk di kawasan bercahaya baharu nampak apa yang dimaksudkannya dan api mula kelihatan.

 "Saya terus memandu kereta ke kiri jalan. Cuma semasa menekan brek tangan, ia seperti tidak berfungsi sepenuhnya. Saya terpaksa merentap brek tangan. Tanpa melengahkan masa, saya capai beg tangan dan cabut telefon daripada pengecaj dan lari ke sisi kereta.

 "Tapi saya disuruh orang yang menyaksikan kejadian itu untuk lari lebih jauh daripada kereta kerana bimbang akan berlaku letupan," kata Vanidah sambil memberitahu pihak bomba menjelaskan kereta itu tidak akan meletup sebaliknya hanya akan terbakar. 

Menurut Vanidah, dia sendiri berasa pelik kenapa kejadian itu boleh terjadi kerana sebelum itu tidak pernah ada petanda menunjukkan kereta dalam keadaan teruk.

 "Tapi saya percaya, kalau benda sudah nak jadi, kita tak mampu nak melawannya. Cuma ketika kejadian, saya tak bau langsung asap atau kereta mula menunjukkan isyarat ada kebakaran. Malahan kebocoran pun tak berlaku dan minyak hitam kereta saya juga dalam keadaan baik. Selalunya kalau ada kebocoran minyak hitam, kita pasti akan nampak tompokannya di lantai rumah.

 "Punca kejadian memang masih dikenalpasti. Pihak bomba pun belum mengesahkan apa-apa kerana ia masih dalam siasatan pihak forensik. Cuma ada beberapa kemungkinan yang mendorong berlakunya kejadian itu yang berkait rapat soal wayar hingga menyebabkan angin boleh menyemarakkan api yang kecil menjadi besar dan masalah kebocoran minyak hitam," katanya.

 Dalam pada itu, Vanidah mahu berterima kasih kepada pihak bomba, polis trafik, PLUS Malaysia Berhad (PMB) dan pengguna jalan raya yang kebetulan berada di tempat kejadian atas kerjasama yang diberikan.

 "Paling utama saya nak ucapkan terima kasih dari hati yang tulus kepada pemandu trak yang memaklumkan awal mengenai asap yang keluar dari enjin kereta. Dia lelaki Melayu. Cuma saya tak sempat tanya nama dan berjumpanya untuk ucapkan terima kasih secara berdepan.

 Terima kasih atas usaha gigihnya untuk patah balik menuju ke kereta saya kerana kami memandu di arah jalan yang bertentangan. "Tak lupa juga ada penunggang motosikal yang membantu saya membuat panggilan kecemasan kepada pihak bomba," katanya.

 Vanidah turut mengucapkan selamat tinggal kepada keretanya yang hangus terbakar. "Kereta itu banyak berjasa kepada saya.

 Saya sudah menggunakannya sejak hampir lapan tahun. Sebelum ini memang, ia jarang meragam. Sedih juga tapi bukan rezeki saya. Ini semua harta dunia," katanya.

 Kereta itu dimenangi ketika beliau dan suami (Rashidi Ishak) menjuarai pertandingan Sehati Berdansa musim pertama yang disiarkan stesen Astro pada tahun 2007



KUALA LUMPUR: Teka teki mengenai gambar wanita di sebelah Datuk Ramli MS yang dimuat naik Alyah sebentar tadi dirungkai tadi oleh penyanyi berkenaan sendiri kepada BH Online.

 Alyah turut mengucapkan tahniah kepada wanita berkenaan yang dikenali dengan nama Siti Hafilah Che Kar kerana dijelaskan turut berkahwin diam-diam dengan suaminya.

 "Tahniah juga atas cubaan menghancurkan rumah tangga saya. Saya hidu cerita ini lama tetapi baru saja dapat bukti bergambar.

 "Saya reda dengan apa saja yang akan terjadi. Lepas satu dugaan demi dugaan saya lalui. Saya kurang pasti bila mereka berkahwin.

 "Sebelum ini wanita itu pernah cakap mengenai hal kahwin dan sekarang sudah terbukti," katanya.

 Alyah juga sedar suaminya itu ramai peminat dan selama berkahwin gambar mereka berdua juga ditegah suaminya untuk diambil mahupun dimuat naik di laman Instagram. 

"Umpama saya ini tak ada perasaan. Dia boleh ambil gambar dengan orang lain tapi dengan saya tidak.

 "Saya terima apa saja kesudahan selepas ini. Selama ini saya seperti orang bodoh. Hidup saya sudah hancur," katanya.

KUALA LUMPUR: Akibat taksub dengan fahaman songsang dipelajarinya sehingga sanggup melabelkan suami sebagai najis, seorang wanita bergelar Datin sanggup menjalinkan hubungan dengan lelaki lain yang dianggap lebih 'warak' sebelum ditangkap berkhalwat.

 Dalam serbuan jam 11.50 pagi semalam, wanita terbabit bersama pasangannya ditahan ketika sedang 'berasmara' di dalam sebuah kereta di tepi jalan di Bandar Sri Damansara oleh Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) selepas mendapat aduan orang ramai.

 Hasil siasatan mendapati wanita terbabit sudah menjalinkan cinta terlarang dengan pasangannya hampir dua tahun kerana mendakwa suaminya bukan tidak mengikuti syariat Islam sebenarnya kerana sering melakukan perbuatan bidaah.

 Difahamkan wanita sering mengikuti pengajian agama di sekitar Kayu Ara, Petaling Jaya dan di kawasan Bukit Kiara sebelum menjalinkan hubungan sulit dengan teman lelaki yang dianggap sealiran dengannya.

 Menurut sumber, wanita berusia 40-an itu sudah mempunyai tiga anak berusia 10 hingga 15 tahun, selalu bersikap dingin bersama suaminya dan sanggup menyewa rumah semata-mata untuk melempiaskan nafsu bersama pasangannya yang juga suami orang.

 "Beliau anggap suaminya najis kerana mendakwa banyak melakukan perbuatan bidaah seperti tahlil, zikir, solat tidak menepati sunnah Rasulullah SAW, doa Qunut dan sebagainya.

 "Wanita berkenaan sanggup menjalinkan hubungan sulit dengan teman lelaki kononnya sealiran fikrah dengannya kerana dilihat berperwatakan warak dan alim, akhirnya dicekup berkhalwat dan cubaan melakukan persetubuhan luar nikah dengan lelaki itu di dalam sebuah kereta tengah hari semalam," katanya.

 Bukan itu saja, wanita terbabit yang terpengaruh dengan fahaman songsang itu turut mempengaruhi anaknya supaya membenci ayahnya dengan pelbagai tuduhan seperti tidak mengamalkan sunnah dan mempunyai perempuan simpanan.

 Katanya, akibat cinta sudah menguasai mereka di samping ajaran yang diamalkan, wanita terbabit sengaja mencari alasan untuk memburukkan suaminya dengan menuduh lelaki itu terkeluar daripada Islam selain mengamalkan ajaran bercanggah serta sesat.

 "Hampir dua tahun wanita tersebut tidak bersekedudukan dengan suaminya, beliau juga turut memfailkan cerai terhadap suaminya di Mahkamah Rendah Syariah di Shah Alam, namun kerana sayangkan perkahwinan dan anak-anak, si suami tetap mempertahankan rumah tangganya.

 "Ketika pasangan itu ditahan di dalam sebuah kereta bercermin gelap mereka sedang berpelukan dengan zip seluar lelaki terbuka sehingga menampakkan kemaluannya, manakala wanita itu dalam keadaan berseluar dalam dengan singlet.

 Sementara itu Pengarah JAIS, Datuk Haris Kasim mengesahkan penahanan pasangan itu dan disiasat mengikut Enakmen Jenayah Syariah Selangor.

PETALING JAYA: Fara Fauzana, 36, menafikan tindakannya mengundurkan diri daripada Hot FM adalah bagi menyertai stesen radio lain.

 Sedekad bersama stesen itu, Fara menjelaskan keputusan itu dibuat bagi memberi ruang kepada muka baharu untuk membina nama dalam industri penyiaran tanah air.

 "Nama saya sudah terlalu sinonim dalam dunia radio. Kadang kala saya berasakan seperti menjadi penghalang untuk bakat lain menonjol dalam dunia penyampaian radio

. "Jadi, lebih baik saya buka ruang itu kepada orang lain. Selain itu juga, saya dapat memberi ruang kepada diri sendiri untuk lebih mendekatkan diri kepada Tuhan," katanya pada sidang media yang diadakan, di sini, hari ini.

 Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Radio Media Prima, Seelan Paul dan Pengurus Besar Kumpulan Rangkaian Radio Media Prima Berhad (MPB), Anida Tahrim.

 Semalam, Seelan mengumumkan pengunduran empat penyampai radio itu menerusi siaran paginya.

 Selain Fara, turut meninggalkan stesen radio terbabit adalah Muhammad Azmir Selamat (AG), Mohd Khairul Ikhwan Rosli (Ikhwan) dan Khairu Norliza Khairudin (Liza). 

Bagaimanapun, AG, Ikhwan dan Liza akan memulakan tugas di radio baharu milik MPB, bermula Mac depan. Pengumuman mengenainya akan diadakan tidak lama lagi.

 Fara atau nama sebenarnya, Farah Fauzana Mohd Fadzil berkata, hasrat terbabit sudah dipendam sejak tahun lalu.

 Begitupun beliau mengambil keputusan untuk menamatkan perkhidmatan pada 26 Februari ini, sempena genap usia 10 tahun pembabitannya di radio itu.

 Pemenang tujuh kali berturut-turut trofi Penyampai Radio Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) itu berkata, beliau berbuat demikian bagi mendalami ilmu agama, memperluaskan bidang pengacaraan dan menyertai program kemasyarakatan.

 "Pada usia mencecah 36 tahun ini juga, saya berasakan sudah tiba masanya untuk memberikan tumpuan kepada hal peribadi, termasuk memikirkan soal ibu bapa dan rumah tangga," katanya.

 Mengaku sukar untuknya membuat keputusan terbabit, Fara berkata, seandainya ditakdirkan kembali ke arena penyiaran radio, pastinya beliau memberikan keutamaan kepada MPB.

MUMBAI: Bintang popular Bollywood, Shah Rukh Khan, diberi kawalan keselamatan tambahan ketika penggambaran di Gujarat berikutan kejadian dua bantahan pertubuhan berhaluan kanan terhadap aktor itu dalam tempoh dua minggu.

 Shah Rukh berada di negeri berkenaan untuk menjayakan penggambaran filem terbaharunya, Raees.

 Pesuruhjaya Polis, Shivanand Jha, berkata ketua polis daerah dan bandar raya diminta menilai keadaan dan menyediakan kawalan keselamatan mencukupi di hotel dan lokasi penggambaran.

 Kawalan keselamatan diperketatkan apabila kru filem mengunjungi Adalaj untuk penggambaran, kelmarin

. Polis daerah Gandhinagar menempatkan lebih 150 kakitangan, termasuk timbalan superintendan polis, dua inspektor dan 10 sub-inspektor.

 "Keselamatan Shah Rukh dan kru filem dipantau. Jumlah anggota polis juga ditambah," katanya..

 Sejak dua minggu lalu, Shah Rukh berhadapan bantahan aktivis Vishwa Hindu Parishad di Bhuj dan Ahmedabad berikutan kenyataan kontroversinya mengenai ketiadaan toleransi di India.

 Pada awal pagi Ahad lalu, sekumpulan belia bermotosikal melempar batu ke arah hotel diduduki pelakon dan kru filem menyebabkan kereta digunakan kru rosak.

 Mereka juga cuba membakar patung aktor itu di luar hotel sebelum ditahan polis. - AGENSI

KUALA LUMPUR: Pelakon, Syarul Ridzwan, terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika memandu seorang diri dari Subang menuju ke Shah Alam, 6.30 pagi tadi.

 Bagaimanapun, bintang Hati Perempuan ini tidak mengalami kecederaan teruk selain luka pada bahagian tangan. 

"Alhamdulillah saya okey. Cuma tangan saya mengalami sedikit luka. Begitupun, kereta Honda City saya nampaknya hancur teruk.

KUALA LUMPUR : Pelakon Farid Kamil mengakui terkilan dengan tindakan isterinya, Diana Danielle, yang menggayakan baju dalam untuk sebuah majalah fesyen sekitar sebulan lalu. 

Farid, 34, yang pertama kali memberi komen berhubung isu itu bagaimanapun menegaskan beliau tidak mahu mencampur-adukkan urusan peribadi dan kerjaya.

 "Maaf saya tidak boleh memberi sebarang komen. Perkara ini sangat rumit untuk diulas. Jadi, saya berharap jika inginkan kepastian, seeloknya soalan ini diajukan kepada pihak pengurusan Diana sendiri," katanya ketika ditemui pada majlis pratonton Abang Lejen di Cathay Cineleisure Damansara, di sini

 Pihak pengurusan Diana adalah ProkuyaStudios, yang kendalikan oleh adik Farid sendiri iaitu Fadzil Zahari.

 Diana sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila beraksi berani mengenakan baju dalam dan menyelimut badannya dengan menggunakan sehelai bendera Amerika Syarikat.

 Sehingga kini, Diana mengambil langkah mengunci mulut berkenaan dengan isu itu.



KUALA LUMPUR : Pelakon Fezrul Khan menjelaskan rumah tangga yang dibina dengan Noorhafizah Zulkafli, 31, sejak tiga tahun lalu runtuh bukan disebabkan kehadiran orang ketiga, sebaliknya kerana masalah dalaman.

 Tanpa mahu menyatakan masalah itu, Fezrul atau nama sebenarnya Fezrul Khan Junaidi, 35, berkata timbul konflik antara mereka yang tidak dapat diselesaikan.

 "Benar saya sudah bercerai talak satu. Jodoh kami tidak panjang untuk meneruskan lagi perkahwinan ini. Kami bercerai bukan kerana orang ketiga tetapi konflik itu terjadi antara kami sendiri.

 "Buat masa ini saya sedang bekerja dan perlu memberikan sepenuh tumpuan supaya tidak hilang konsentrasi. Kalau boleh saya tidak mahu memikirkan atau membincangkan perihal perceraian ini," katanya kepada BH Online.

KUALA LUMPUR: "Saya tak nafikan pengakuan Shahir yang kami rapat," demikian reaksi pantas Erra Fazira mengenai cakap-cakap bahawa kedua-dua mereka didakwa menjalin hubungan.

 Pendedahan Shahir Zawawi, penyanyi yang juga juara Akademi Fantasia ke-8 (AF-8) dalam BH Plus hari ini mengesahkan dia dan Erra rapat, sekali gus mengesahkan gosip yang pernah bertebaran sebelum ini mengenai hubungan antara mereka.

 Malah ia juga secara langsung memberi penunjuk bahawa 'jejaka misteri' yang pernah dimaksudkan Erra sejak November tahun lalu adalah Shahir.

 ""Saya tak nafikan pengakuan Shahir yang kami rapat.. tapi cukuplah setakat itu dulu. Tidak ada apa apa perkembangan yang nak diceritakan pun," kata Erra ringkas.

 Jika selama ini, Erra sahaja yang menjadi buruan teman media untuk dikorek siapakah gerangan lelaki yang dikenalinya itu dan Shahir pula dilihat berdiam diri tanpa memberikan sebarang kenyataan.

 Lalu pendedahan Shahir itu yang biarpun cukup ringkas menyatakan mereka sebenarnya rapat atau dalam erti kata lain sedang mengenali antara satu sama lain.

 Cuma Shahir dilihat tidak mahu terlalu galak bercerita mengenai hubungan mereka.

 Tetapi jelas Shahir sebenarnya sudah melakukan yang terbaik dengan memainkan peranannya sebagai lelaki apatah selama ini di pihak Erra sahaja yang menjadi tumpuan. PELAKON, Erra Fazira akui rapat dengan Shahir. 

ROME: Cristiano Ronaldo meninggalkan sidang media dengan berang sebaik menjawab soalan mengenai jaringannya di tempat lawan yang semakin berkurangan kebelakangan ini.

 Real Madrid bertandang ke laman Roma untuk perlawanan pertama kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi esok dan Ronaldo antara harapan pengendali Real, Zinedine Zidane untuk menembusi benteng kelab Itali itu.

 Ronaldo memecahkan rekod kejohanan untuk jaringan paling banyak dalam peringkat kumpulan apabila meledak 11 gol awal musim ini, dan dia turut memegang rekod penjaring terbanyak dalam sejarah Liga Juara-Juara dengan 88 gol dalam 121 penampilan.

 Bagaimanapun, penyerang Portugal itu berang apabila ditanya mengapa dia tidak lagi menjaringkan gol ketika bertandang ke tempat lawan sejak kemenangan 2-0 Real Madrid di Eibar pada 29 November lalu.

 "Siapa lagi yang menjaringkan lebih banyak gol di tempat lawan berbanding saya sejak saya tiba di Sepanyol? Tiada jawapan? Baik. Terima kasih semua," kata Ronaldo yang terus meninggalkan sidang media.

 Ronaldo meledak 32 gol dalam semua pertandingan sepanjang musim ini - 21 di laman sendiri dan 11 di tempat lawan.

 Sejak jaringannya di Eibar, Ronaldo beraksi empat kali di tempat lawan tanpa sebarang gol dan bergelut untuk menampilkan prestasi terbaiknya ketika menentang Real Betis dan Granada dalam saingan La Liga.

 "Ia boleh difahami mengapa peminat ragu-ragu," kata Ronaldo di awal sidang media berkenaan. "Ia seperti seorang anak yang diberikan semuanya, dan apabila anda menariknya semua, dia akan menangis.

 "Saya harap saya dapat mengekalkan 'prestasi buruk' ini sehingga ke akhir musim." - Reuters

KUALA LUMPUR: Marsha Milan Londoh yang memiliki vokal lunak kesal apabila beliau tidak diberikan peluang untuk mengembangkan bakatnya dalam bidang nyanyian.

 Beliau bagaimanapun enggan patah semangat dengan senario itu, sebaliknya menjadikan ia sebagai pendorong untuk lebih berusaha keras memajukan diri.

 Marsha berkata, beliau percaya tuah belum berpihak kepadanya sebagai penyanyi biarpun sudah mencuba pelbagai cara bagi mengetengahkan bakat nyanyian dimiliki.

 "Sedih rasanya kerana pelbagai cara sudah saya lakukan untuk membuktikan bakat dalam bidang nyanyian.

 Namun, saya percaya pada rezeki. Ada penyanyi yang menjadi popular selepas 10 tahun berkecimpung dalam arena seni suara dan ada yang berjaya menempa populariti dalam jangka masa singkat.

 "Buat masa ini, saya akur rezeki lebih berpihak dalam bidang pengacaraan dan lakonan. Lagipun, kurang manis untuk menolak permintaan orang, namun semestinya keutamaan saya adalah bidang nyanyian.

 "Bagaimanapun, saya merancang untuk memberikan fokus kepada bidang nyanyian pada tahun ini. Saya juga akan lebih meneliti watak yang ditawarkan," katanya kepada BH Online.

 Marsha mula dikenali dalam dunia hiburan apabila beliau menyertai program realiti Akademi Fantasia musim ketiga pada 2005.

 Ramai tetamu majlis resepsi Akim dan Stacy di Sabah baru-baru ini, memuji kemantapan vokal Marsha, 30, mempersembahkan lagu Mencintaimu nyanyian asal Kris Dayanti. 

Wanita kelahiran Negeri di Bawah Bayu itu berkongsi, beliau sedang sibuk mempromosikan single terbaharu berjudul Sudah Kutemui, iaitu hasil ciptaannya sendiri. Lagu itu didedikasikan kepada suaminya dan dinyanyikan beliau ketika majlis perkahwinannya, awal tahun ini.

SUNNYLANDS: Pemimpin ASEAN mengulangi pendirian mahukan satu penyelesaian damai terhadap tuntutan wilayah bertindih ke atas Laut China Selatan.

 Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata isu itu mesti diselesaikan berdasarkan undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS).

 "Semua pihak perlu mengekang diri, elakkan ketegangan meningkat di wilayah yang dipertikai," katanya kepada wartawan Malaysia pada akhir hari pertama Sidang Kemuncak Pemimpin Amerika Syarikat (AS)-ASEAN, di sini.

 Tuntutan bertindih itu membabitkan empat negara ASEAN iaitu Brunei, Filipina, Malaysia dan Vietnam, selain China dan Taiwan.

 Najib berkata, beliau membangkitkan perkara itu dalam perbincangan antara 10 pemimpin ASEAN dengan Presiden AS, Barack Obama.

 Beliau berkata, adalah penting untuk mengekalkan keamanan, keselamatan dan kestabilan di samping kebebasan pelayaran dan penerbangan di ruang angkasa kawasan berkenaan.

 "Penyelesaian itu tidak ditujukan kepada China saja. Kita perlukan peranan China secara positif dan produktif kerana sebarang pertumbuhan ekonomi yang lembab di China akan memberi impak kepada ekonomi global," katanya.

Sunday, 14 February 2016

      Menurut Tuk Ngah, kewujudan Istana Menanti berkait rapat dengan kedatangan orang Minangkabau ke Tanah Melayu. Raja Melewar menjadi pemerintah yang pertama bersemayam di istana tersebut. Tuk Ngah juga bercerita tentang asal usul nama Rembau dan Sungai Ujung menjadikan remaja bertiga itu semakin teruja hendak menyiasat istana lama tersebut.

      Pada hari yang sesuai, Tuk Ngah yang menemani tiga sahabat itu menunjukkan kegigihan mereka mengatasi halangan menawan puncak Gunung Datuk dan melihat sendiri keistimewaan Istana Menanti. Semasa dalam perjalanan menuju ke puncak, Tuk Ngah bercerita tentang sejarah pembukaan negeri Melaka oleh Paremeswara. Mereka juga singgah sebentar di Jeram Lubuk Petai yang dikatakan tempat bersiram Raja Melewar dan Sultan Mahmud Shah. Tuk Ngah sempat memberi nasihat kepada remaja-remaja itu supaya menjaga tingkah laku semasa menuju ke puncak gunung demi menjaga keselamatan bersama-sama.

      Apabila sampai ke puncak gunung dan melihat reka bentuk istana yang dikatakan berpuaka itu, Tuk Ngah bercerita tentang bentuk bumbungnya yang kelihatan seperti tanduk kerbau. Menurut Tuk Ngah, bentuk itu sempena memperingati kemenangan seorang raja Minangkabau yang menang dalam perlawanan beradu kerbau. Tuk Ngah tidak masuk bersama-sama dengan remaja-remaja tersebut ke dalam istana kerana ingin berehat di luar istana.

      Mereka bertiga masuk dan melihat sendiri keunikan seni bina istana lama tersebut. Ketika memasuki sebuah bilik yang dipercayai bilik tidur diraja, tiba-tiba mereka terkunci dari dalam. Mereka mencari-cari jalan keluar namun tidak berjumpa. Fadhil cuba mengetuk-ngetuk lantai lalu terjumpa pintu terowong bawah tanah yang gelap dan berbau hapak. Mereka cuba masuk tetapi gagal kerana terlalu gelap dan tidak tahu berapa jauhnya terowong itu. Mereka juga khuatir kerana terdapat terlalu banyak kelawar dan tikusdi dalam terowong tersebut.

     Mereka kemudian terserempak dengan seorang pemuda bernama Khairil, seorang penuntut dari Universiti Putra yang keletihan turut terperangkap dalam terowong tersebut. Ketika mereka melelapkan mata kerana keletihan. Ah Seng terasa ingin membuang air besar. Dia masuk ke dalam terowong lalu ditangkap oleh sekumpulan penjenayah. Penjenayah tersebut sedang menggali tanah di dalam terowong itu kerana mencari harta yang mereka simpan semasa mereka berjuang menentang penjajah dahulu. Mereka menggelarkan diri mereka sebagai pejuang kebebasan. Akhirnya Fadhil, Ramasamy dan Khairil juga berjaya ditawan ketika mereka mencari Ah Seng di dalam terowong tersebut. Mereka juga dipaksa menggali tanah untuk mendapatkan harta tersebut. Setelah harta tersebut ditemui, penjenayah-penjenayah segera keluar dari terowong tersebut meninggalkan remaja-remaja itu

      Pada masa yang sama, ibu bapa remaja terbabit berasa bimbang apabila anak-¬anak mereka tidak pulang sehingga malam. Hasil perbincangan dengan ketua kampung, mereka telah berpakat membuat laporan kepada pihak polis. Pihak polis telah melancarkan gerakan mencari. Mereka beramai-ramai mendak Gunung Datuk, namun gagal menemui remaja-remaja tersebut.

      Tuk Ngah yang berjaya bersembunyi dari penglihatan kumpulan penjenayah itu muncul lalu menceritakan perkara sebenar. Hasil perancangan akhirnya pihak polis berjaya memerangkap penjenayah-penjenayah yank sangat dikehendaki tersebut. Remaja bertiga itu juga selamat ditemui. Mereka digelar sebagai wira kampung dan diraikan dalam suatu majlis kerana keberanian serta kegigihan mereka menempuh cabaran sehingga membantu pihak polis menangkap penjenayah negara tersebut.

novel tingkatan 5 kabus di perbukitan

 Novel ini memaparkan kisah pasangan suami isteri, Kamarudin seorang tentera dan Salmah,yang mempunyai sepasang anak kembar Faridah dan Rahayu. Apabila Kamarudin ditugaskan sebagai Pegawai Pemerintah di Pengkalan Hulu di Perak, dia telah berkahwin dengan Hamidah. Kamarudin diarahkan bertugas sebagai Atase Keselamatan di Pejabat Kedutaan Malaysia di Pontianak, Indonesia. Di sinilah bermulanya perpisahan pasangan kembar tersebut. Kamarudin telah membawa Rahayu tinggal bersama-samanya, manakala Faridah dijaga oleh Salmah.

       Setel ah dewasa, Rahayu berkawan dengan Azrul yang sama-sama belajar di Fakulti Ekologi Manusia, UPM. Faridah menjadi Sukarelawan PDK Suria. Rahayu telah dikejarkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia kerana pengsan di perpustakaan. Rahayu disahkan menghidap kanser. Faridah pula membawa kanak-kanak istimewa ke Bukit Fraser. Sebelum pulang Faridah pergi ke Raub untuk mengisi minyak van dan membeli beberapa keperluan untuk perjalanan pulang pada pukul 2 petang nanti. Akibat terkejut dengan kehadiran Iqbal di dalam van, Faridah gagal mengawal pergerakan van, dan melanggar tembok pengadang jalan lalu menjunam ke dalam gaung. Faridah dan Iqbal tidak dapat dikesan oleh pasukan penyelamat. Setelah dua minggu usaha menyelamat gagal, operasi menyelamat dihentikan. Namun, bapanya, Kamarudin dan rakannya, Buyung berusaha meredah hutan mencari Faridah dan Iqbal. Mereka dijumpai di perkampungan orang Asli di Sungai Dua. Faridah dimasukkan ke hospital yang sama dengan Rahayu dalam keadaan koma. Rahayu melawat Faridah dan dia menghembuskan nafasnya yang terakhir di sisi Faridah. Selepas kematian Rahayu dan tamat pengajian di universiti, Azrul berhasrat menjadi penternak kambing yang berjaya, sebagaimana yang dicita-citakan oleh Rahayu semasa mereka sama-sama belajar.

          Setelah sihat, Faridah berkahwin dengan Pegawai Kebajikan Masyarakat bernama Ghazali. Tidak lama kemudian Salmah, ibu kepada Faridah dan Rahayu meninggal dunia kerana terlalu rindu akan Rahayu. Selepas itu, Ghazali pula meninggal dunia akibat kemalangan. Kemudian Faridah ditawarkan mengikuti kursus Community Services for Disable People di New Zealand selama enam bulan. Di situlah dia berkahwin dengan Soleh Johnsons dan dia terus menetap di sana. Mereka mendapat sepasang anak kembar, iaitu Melina dan Anne.

          Melina berkenalan dengan Jabbar al – Anbia atau dikenali sebagai „Benny‟. Secara tidak sengaja, Anne pula bertemu dengan Zain yang membantunya semasa keretanya rosak. Akhirnya Melina berkahwin dengan Benny di Masjid al-Noor, Christchurch. Mereka berpindah ke Malaysia kerana Benny ditugaskan menerajui operasi minyak di situ. Mereka menetap di Terengganu. Di Malaysia, Benny berkawan baik dengan Mohamed Attar dan Mehmood yang cenderung mencapai sesuatu matlamat berhubung dengan Islam secara kekerasan. Muhamed Attar telah ditangkap oleh pihak berkuasa Interpol kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pengganas. Benny yang bimbang akan keselamatan dirinya telah melarikan diri ke Dubai dengan bantuan keluarganya.

        Faridah dan Soleh pulang ke Malaysia untuk berbincang tentang perkahwinan Anne dan Zain. Mereka menginap di Cameron Highlands. Di situlah Faridah mengetahui bahawa Zain ialah anak lelaki bekas teman lelaki adiknya, arwah Rahayu. Majlis perkahwinan mereka berlangsung dengan meriah.

            Akhirnya, Melina yang sedang sarat mengandung ke Dubai bersama-sama dengan ayahnya, Soleh untuk berjumpa dengan Benny. Melina dan Benny menetap di Dubai. Anne dan Zain pula mengambil alih syarikat penternakan keluarga Johnson di New Zealand. Datuk Azrul dan Soleh Johnsons membuka perniagaan kotej di Cameron Highlands.

cute tiger


kura-kura dan arnab


  Malaysia sebelum berdiri teguh sebagai negara membangun telah melalui pengalaman pahit. Bermula penjajahan Portugis, kemudian Inggeris, Belanda, Jepun, kemudian Inggeris lagi, pengalaman tersebut tidak mahu diulangi lagi. Teriakan keramat ‘Merdeka’ pada 31 Ogos 1957, tidak semudah dilalui dan memaknakan kemerdekaan tersebut. Perpaduan kaum amat penting untuk memastikan negara tidak diganggu gugat oleh negara asing. Kita tiada Dol Said untuk menentang kemaraan penjajah pada tahun 1826 di Naning, atau Rentap menentang kubu Raja Brooke di Nanga Skrang pada tahun 1983, Dato’ Maharajalela membunuh J.W.W Birch 1875 di Pasir Salak, atau Mat Salleh yang gagah mengetuai gerakan menentang Inggeris pada tahun 1884 hingga 1900 di Sabah. Yang kita ada ialah barisan pemimpin negara yang diketuai oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak. Tanpa kegagahan seperti tokoh silam, yang perlu hanyalah kita bersatu padu tanpa mengira kaum dan agama berlandaskan semangat Malaysia, bak kata peribahasa bersatu teguh, bercerai roboh.



          Semangat nasionalisme ialah perasaan cinta akan negara dan perasaan ingin membebaskan tanah air daripada belenggu penjajahan. Oleh itu, perpaduan kaum telah dapat memupuk semangat nasionalisme yang mendalam kepada semua kaum di negeri ini tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit. Berdasarkan senario hari ini, rakyat Malaysia haruslah bertanggungjawab menerima segala adat resam dan budaya yang berlainan agama dengan fikiran yang terbuka agar dapat membendung penindasan seperti di negara-negara Thailand, Afrika dan Indonesia. Kata peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya perlulah dipraktikkan dalam membentuk dan menanam semangat ini kepada anak-anak sejak kecil lagi. Sebagai contoh, nyanyian lagu kebangsaan dan menghayati Rukun Negara di sekolah sebagai ikrar untuk mendisiplinkan diri. Maka dengan itu, mereka akan sedar tentang kepentingan bersatu padu dan hormat-menghormati. Oleh itu, kita perlulah berganding bahu dan bukannya bersifat berat tulang dalam membajai semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat terutamanya anak-anak yang masih berada di bangku sekolah.



          Selain itu, semangat perpaduan juga telah dapat menarik pelancong asing untuk melawat negara kita. Dengan keunikan masyarakat majmuk yang hidup dalam keadaan harmoni, para pelancong akan tertarik untuk mempelajari budaya rakyat Malaysia. Hal ini demikian kerana, mereka akan lebih selamat dan selesa apabila berada di negara ini walaupun Malaysia turut tergugat dengan kemunculan wabak influenza H1N1 yang menjadi perbualan hangat negara-negara di dunia ini, namun industri pelancongan tetap maju dan berkembang dari tahun ke tahun kerana adanya perpaduan kaum. Timbalan Menteri Pelancongan ada menyatakan bahawa dengan adanya layanan mesra yang diberikan oleh rakyat Malaysia kepada pelancong asing, industri pelancongan akan terus mendapat tempat yang tertinggi walaupun agak berkurangan dengan masalah penularan wabak H1N1. Tidak dapat dinafikan bahawa, rakyat Malaysia dapat berinteraksi dengan baik antara satu sama lain walaupun berbeza agama dan bangsa. Sebagai contoh, di sekolah menengah, para pelajar yang terdiri dengan pelbagai kaum dapat belajar dalam satu sekolah yang sama. Seperti peribahasa Melayu ada menyatakan bahawa muafakat membawa berkat. Oleh itu, jelaslah perpaduan kaum bukan sahaja dapat memupuk semangat patriotik malah dapat menarik lebih ramai pelancong asing ke negara kita.



          Seterusnya, sebagai rakyat Malaysia yang juga merupakan golongan majoriti di negara ini tidak terlepas daripada masalah pergaduhan dan penindasan yang pernah berlaku di negara kita. Pastinya sudah ada tertanam dalam pemikiran kita tentang rusuhan kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969 yang berlaku di negara kita. Pada masa itu, semua pemimpin dan rakyat telah berusaha untuk menamatkan masalah tersebut. Lantasan itu, semua penduduk di negara ini harus mengamalkan konsep perpaduan kaum dan bukan bersikap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing untuk mengelakkan perpecahan kaum. Bahkan dengan perpaduan kaum juga dapat menjamin keamanan negara. Hal ini demikian kerana, masyarakat yang bersatu padu dapat hidup berbaik-baik dan menghormati kaum lain sejajar dengan dasar luar Malaysia yang digubal selepas Perang Dunia Kedua, hal ini sekali gus dapat menjamin keamaan setempat. Peribahasa ada menyatakan bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Perealiasasian pepatah ini dapat dibuktikan melalui kerjasama yang erat antara kaum. Sebagai contoh, kaum Cina menghormati adat dan budaya kaum Melayu dan India. Memang tidak dapat dinafikan, walaupun negara sudah mengamalkan konsep perpaduan, masih ada lagi rusuhan-rusuhan kecil yang berlaku di negara ini seperti demontrasi jalanan yang berkaitan dengan Akta ISA. Maka jelaslah bukan sahaja perpaduan kaum menjadi kunci kepada keharmonian dan keamanan yang dinikmati oleh rakyat bahkan minda dan pemikiran juga haruslah diisi dengan nilai-nilai yang positif agar tidak berlaku permusuhan.

          Dasawarsa ini, pendidikan menjadi tunjang kepada perpaduan negara. Tidak dapat dinafikan bahawa sekolah dan pendidikan memainkan peranan yang sangat penting dalam pembinaan dan pembentukan warga negara dan rakyat yang bersatu padu. Sememangnya telah dicatatkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan bahawa ‘Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembang lagi pontensi individu secara menyeluruh dan bersatu padu untuk mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kapada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkemampuan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.’ Secara tidak langsung, dasar ini dapat melahirkan satu masyarakat Malaysia yang bersatu padu dan berintegrasi seperti yang dihasratkan dalam Rukun Negara melalui penggunaan dan penghayatan kurikulum yang bersepadu, penggunaan bahasa dan sistem peperiksaan yang sama serta penglibatan aktif pelajar dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum yang dirancang dan dilaksanakan sepanjang sesi persekolahan pelajar. Izharlah bahawa perpaduan kaum penting dalam menjana masyarakat Malaysia yang mengutamakan semangat bersatu padu dalam memenuhi konsep 1Malaysia seperti yang dihasratkan oleh kerajaan.

          Kurikulum yang dibina bukan sahaja bertujuan untuk memberikan ilmu pengetahuan dan maklumat berbentuk akademik sahaja, bahkan memupuk semangat perpaduan. Kurikulum ini berorientasiakan suasana Malaysia dan dilaksanakan melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) mulai tahun 1983. Mata pelajaran Pendidikan Islam, Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah serta Pendidikan Moral yang diperkenalkan dapat mengukuhkan pegangan agama, menanam sifat-sifat mulia seperti tolong-menolong, bekerjasama dan berfikiran optimis serta membentuk tingkah laku yang bersopan santun dan saling menghormati sesama manusia. Mahukah rakyat negara kita bersikap seperti kacang hantu? Yang hanya menambahkan lagi masalah di negara kita secara tidak langsung mencemarkan nama baik negara. Janganlah kita semua memandang enteng terhadap peranan pendidikan dalam mewujudkan semangat perpaduan kerana pendidikan merupakan benteng utama insan daripada ditipu oleh musuh-musuh negara yang berhajat untuk menghancurkan perpaduan kaum di negara kita. Mahukah perkara ini berlaku kepada kita dan generasi akan datang? Fikirkanlah, sesungguhnya melalui pendidikan sahaja yang dapat menjamin keutuhan perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Intihanya, sistem pendidikan memainkan peranan penting dalam pemupukan semangat perpaduan agar negara terpelihara daripada tipu helah pihak musuh.


          Sehubungan dengan itu, perpaduan juga dapat meningkatkan imej negara, hasil daripada kerjasama antara semua kaum tanpa timbul sebarang permasalahan. Sebagai contoh, pada musim perayaan terutamanya, semua rakyat negara ini sudah pasti akan mengamalkan kunjung-mengunjungi, bermaaf-maafan dan berbual mesra antara satu sama lain. Bertitik tolak daripada ini, semangat perpaduan sedikit banyak dapat diwujudkan. Marilah kita bersama-sama menjadikan negara Malaysia berdiri sama tinggi, duduk sama rendahdengan negara-negara maju seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Hong Kong, di samping ekonomi negara yang semakin meningkat dengan drastiknya. Tidak mahukah kita mengecapi kejayan tersebut? Mengapa semua rakyat Malaysia masa kini bersikapmembutakan mata dan memekakkan telinga masing-masing dalam menyahut seruan kerajaan untuk membangunkan negara agar nama Malaysia gah di seantero dunia? Sudah pastinya terdapat jawapan bagi kesemua persoalan tersebut walaupun jawapannya berbeza-beza. Konklusinya, imej negara dapat ditingkatkan jika seluruh rakyat bekerjasama bagai aur dengan tebing dalam melaksanakan dan menjayakan rancangan kerajaan yang telah bertungkus lumus untuk menyediakan perancangan kerajaan yang efektif seterusnya membawa imej negara terkenal di seluruh dunia.
          Jika semua masyarakat berganding bahu, ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni insya-Allah perkara ini akan dapat direalisasikan lebih awal daripada jangkaan kita. Usaha Perdana Menteri kita dengan memperkenalkan konsep 1Malaysia sememangnya berbaloi dalam mewujudkan perpaduan kaum dalam kalangan rakyat Malaysia. Sudah terang lagikan bersuluh, terdapat banyak kepentingan dalam memupuk perpaduan kaum sama ada kepada masyarakat ataupun negara. Kita sememangnya tidak dapat menjangka apa-apa yang bakal berlaku pada masa hadapan kerana semua itu terletak pada kekuasaan Allah s.w.t. Oleh itu, kita perlulah sediakan payung sebelum hujan dalam mendepani masa depan yang menjanjikan cabaran di luar jangkaan agar kita tidak ditimpa malang seperti peribahasa Melayu, sudah terhantuk baru nak tengadah. Masyarakat sepatutnya mempraktikkan elemen bertolak ansur dan memperteguh kefahaman antara satu sama lain supaya dapat membina impian negara pada masa depan yang lebih gemilang. Intihanya, semua rakyat perlulah mempertahankan semangat perpaduan di negara kita demi negara yang tercinta dan dapat menyambut gamitan negara impian.